Bab 6 : Pengurusan Penasihatan Murid


Konsep bimbingan merupakan bantuan seseorang yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seseorang individu dari setiap peringkat usia. Tujuannya adalah untuk menolong mengarahkan hidupnya sendiri, membuat pilihannya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri (Crow & Crow 1960). Bimbingan diberi kepada individu untuk membuat pilihan dan penyesuaian yang bijak. Dalam konsep pendidikan, bimbingan merupakan keseluruhan perancangan aktiviti-aktiviti dalam membantu pelajar mengalami cara-cara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka.

      Konsep memberi nasihat ialah strategi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat (Zuraidah, 1994). Menurut kamus dewan, nasihat ialah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan mengusulkan, mengesyorkan atau menganjurkan kepada seseorang tentang pelbagai hal.

Difinisi Bimbingan
  • Suatu proses untuk membantu individu memamahami dirinya dan dunia sekelilingnya supaya ia boleh menggunakan kebolehan, keupayaan dan bakat yang ada dengan sepenuhnya (Suradi, 1966).
  • Cara membantu orang lain atau suatu usaha menyediakan pengalaman untuk membantu pelajar memahami diri (Amla et al, 2006). 
Ciri-ciri Bimbingan
  1. Bimbingan merupakan aktiviti yang dirancang. Ia bukanlah kegiatan yang dilakukan secara kebetulan, secara tiba-tiba, tidak sengaja dan sambil lewa tetapi ia adalah satu kegiatan yang tersusun, sengaja, berencana, berterusan dan mempunyai arah tujuan
  2. Bimbingan merupakan proses membantu individu atau kumpulan. Bimbingan tidak memaksa seseorang itu mengikut arah yang tertentu, melainkan membantu atau menolong individu mengikut arah yang sesuai dengannya
  3. Bimbingan yang diberikan ialah kepada individu yang memerlukan bantuan untuk memecahkan permasalahan yang dihadapinya
Ciri-ciri Penasihat
  1. Berfokus kepada permasalahan yang dihadapi daripada menumpukan kepada diri individu yang bermasalah.
  2. Berbentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti kepada seorang lain. Orang yang berautoriti ini adalah lebih berpengalaman, banyak pengetahuan, mempunyai kelayakan dan pengiktirafan.
  3. Memberi nasihat adalah strategi yang paling cepat untuk mengatasi permasalahan jika nasihat itu meninggalkan kesan.

Proses Bimbingan dan Nasihat
    
Dalam topik ini ialah terdapat beberapa proses bimbingan dan penasihatan. Fasa pertama, kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar. Dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar.

    Pada fasa kedua, menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas.

      Fasa ketiga merupakan proses mengenali pelajar Pada tahap ini, guru-guru dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan  penasihatan. Teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan.

      Fasa keempat proses membimbing pelajar membina hubungan, penerokaan, definisi masalah dan membina matlamat, alternatif penyelesaian dan pelan tindakan, dan melaksanakan tindakan.

    Fasa kelima ialah analisis penilaian dimana melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu.

MAKLUMAT UMUM MENGENAI BANTUAN KAUNSELING DAN PSIKOLOGI

    Kaunseling adalah satu proses perhubungan menolong secara professional berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor mengikut kod etika kaunselor untuk membantu klien meneroka, menganalisis, memahami diri dan mampu membuat keputusan sendiri. Jenis-jenis Intervensi Kaunseling seperti berikut :

  • Kaunseling Individu - Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka diantara seorang kaunselor dengan seorang klien.
  • Kaunseling Kelompok - Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara seorang atau lebih dengan beberapa orang klien.
  • Kaunseling Perkahwinan - Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara kaunselor dengan pasangan suami isteri.
  • Kaunseling Keluarga - Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara seorang kaunselor atau lebih dengan klien bersama ahli keluarga klien.
  • E -Kaunseling / Tele Kaunseling - Satu bentuk perhubungan menolong secara tidak bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien.

Ujian Penaksiran Psikologi

Merupakan satu kaedah pengukuran untuk melihat dan mengenalpasti ciri-ciri psikologikal seperti tret personaliti, kompetensi, konsep kendiri, tahap stress, kemurungan, komunikasi dan lain-lain.


Advokasi dan Outreach

Merupakan program kepada komuniti yang berisiko.


Intervensi Pendidikan

Merupakan pendekatan yang memberi fokus kepada situasi kritikal dengan memberi perhatian serta merta kepada peristiwa tersebut seperti keganasan rumah tangga, perceraian, pergaduhan, konflik, bencana alam (banjir, Tsunami, tanah runtuh dan lain-lain) dan lain-lain.


Program Psikopendidikan

Merupakan program yang menekankan aspek pertumbuhan, perkembangan dan pencegahan. Antara program-program yang dilaksanakan ialah kebolehan daya tindak (coping ability), pengurusan marah, pengurusan stress, pengurusan masa, analisa pembuatan keputusan, pengurusan kebimbangan, pengurusan kewangan, kemahiran keibubapaan, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pembimbing Rakan Masyarakat (PERAMA) dan lain-lain.


Perkhidmatan Konsultansi

Menyediakan perkhidmatan konsultansi psikologi kepada kumpulan sasar dan kakitangan jabatan.


Bengkel Interaktif

Merupakan peruntukan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang mewajibkan kehadiran ibu / bapa / penjaga dan anak mereka menjalani program intervensi yang ditetapkan. Intervensi ini bertujuan memperbaiki kefungsian keluarga. Melalui intervensi tersebut, keluarga akan mempelajari kaedah mengenalpasti permasalahan, menyelesaikan masalah serta menggunakan pendidikan dan pengetahuan terbaik menguruskan sistem kekeluargaan mereka.


Rumusan

   " Topik ini banyak membahaskan mengenai kaitan dengan pengurusan penasihatan murid. Bab ini menjelaskan tentang fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar bahkan sebagai penasihat kepada para pelajarnya agar mereka yang mempunyai masalah dapat dibantu dengan sebaiknya. Sesi kaunseling terhadap pelajar amat perlu terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mahupun kendiri. Selain itu, kita dapat mempelajari jenis ruang bilik kaunseling seperti bilik kaunseling individu dan kelompok. Guru kaunseling memainkan pelbagai peranan dalam perkembangan sahsiah disiplin, mental dan juga pengurusan akademik dan kerjaya murid. Sebagai seorang guru, sikap profesional dalam menangani isu dan masalah pelajar sangat diperlukan agar pelajar dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalahnya. "

Comments